MATLAMAT CAPAI NEGARA MAJU 2020
Malaysia secara konsistent dan terancang meletakkan matlamat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 nanti. Usaha ini semakin menampak kejayaan apabila banyak pencapaian memberangsangkan dicapai dalam pendidikan, ekonomi, sains dan teknologi, perindustrian, sosial dan teknologi maklumat.
Malaysia kini memiliki pasarana kelas pertama dengan sistem pengakutan moden, lapangan terbang besar, pelabuhan yang mampu mengendalikan kapal terbesar, perkhidmatan perbankan, takaful, penghasilan peralatan teknologi moden dan meneroka bidang angkasa lepas.
Sesuatu dasar atau konsep yang diperkenalkan kerajaan memerlukan sokongan padu daripada rakyat. Inilah resipi kejayaan yang dicapai negara selama ini. Semua pihak perlu berganding bahu membangunkan negara, biarpun berlainan ideologi politik.
Mentaati pemerintah adalah sebahagian tuntutan Islam. Kerajaan tidak dapat menjalan tanggungjawab dengan baik jika rakyat tidak memberi sokongan terhadap rancangan dan dasar yang diatur untuk kepentingan semua pihak.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan kepada ‘ulil-amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 59).
Justeru, Islam melarang sebarang tindakan menyalahi peraturan atau undang-undang ditetapkan pemerintah. Sesiapa menentang pemerintah samalah ingkar kepada Allah dan Rasulullah. Tindakan sesetengah individu yang tidak menyokong kerajaan yang adil dan menjalankan tanggungjawab dengan baik samalah dengan tindakan meruntuhkan kekuatan Islam.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang taat kepadaku, bererti dia taat kepada Allah, sesiapa yang derhaka kepadaku bermakna dia derhaka kepada Allah, sesiapa yang taat kepada pemerintah bermakna dia taat kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemerintah bermakna dia derhaka kepadaku.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah).
Sokongan rakyat adalah aset paling penting bagi menjamin keselamatan negara. Sesiapa melakukan khianat terhadap negara bukanlah dari kalangan orang beriman, kerana mencintai negara adalah sebahgian daripada cabang iman.
Setiap rakyat wajib mempertahankan negara mengikut kemampuan masing-masing. Mempertahankan negara bukan hanya apabila menjadi tentera dan bertempur di medan perang. Sebaliknya, mempertahankan negara meliputi segala usaha secara langsung dan tidak langsung bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara.
Setiap rakyat wajib mentaati pemerintah selagi tidak diperintahkan melakukan perkara buruk. Sabda Rasulullah bermaksud: “Wajib ke atas setiap Muslim patuh dan taat kepada pemerintah sama ada dia suka atau tidak, selama mana dia tidak diperintahkan melakukan maksiat, sekiranya dia diperintah melakukan maksiat, maka janganlah patuh dan taat.” (Hadis riwayat Bukhari).
Negara amat memerlukan sokongan dan kesetiaan setiap rakyat, terutama ketika di seluruh dunia sekarang ini menghadapi segala kemungkinan akibat tindakan pihak memusuhi Islam. Sikap setia dan menyokong kerajaan adalah sebahagian jihad untuk mempertahankan negara.
0 Response to "MATLAMAT CAPAI NEGARA MAJU 2020"
Post a Comment