KISAH CHIN PENG MELARIKAN DIRI KE CHINA


Pada saat anak-anak buahnya berjuang bermati-matian di dalam belantara, sebenarnya Chin Peng telah pun meninggalkan ‘perjuangan hutan’ sejak berpuluh tahun lamanya.

Pada pertengahan tahun 1961, Chin Peng telah melarikan diri dari Tanah Melayu untuk ke China.

Dia bertolak dari sempadan Thai-Malaysia dengan menaiki kereta menuju ke Bangkok. Di Bangkok dia tinggal selama dua malam sebelum meneruskan perjalanan ke utara Thailand hingga sampai ke Mekong. Perjalanan tersebut adalah secara rahsia.

Dari Sungai Mekong, dia menaiki perahu menyeberangi sungai hingga ke Laos. Semasa di Laos itu, kerajaan Vietnam sudah diberitahu tentang kedatangan Chin Peng
itu.

Kerajaan Vietnam, kemudian menghantar sebuah helikopter untuk mengambil Chin Peng. Dari Laos ke Vietnam, Chin Peng menaiki helikopter. Di Hanoi dia tinggal selama satu minggu.

Kemudian kerajaan China telah menghantar sebuah kapal terbang khas untuk mengambilnya dari Hanoi. Pada hari ketibaannya itu, seorang telah menunggunya di Lapangan Terbang Peking.

Rupa-rupanya ketika di negara tembok besar itu, Parti Komunis China sudah menyediakan sebuah banglo mewah di Kompleks International Liasion Department (ILD) sebagai tempat kediamannya.

Banglo itu dua tingkat. Tingkat atas terdapat empat bilik, tingkat bawah dua bilik, termasuk dua bilik makan yang luas.

Di banglo tersebut, Chin Peng diberikan dua orang setiausaha. Seorang setiausaha peribadi dan seorang lagi setiausaha penerbitan yang mengendalikan urusan penerbitan seperti dokumen-dokumen dan risalah-risalah.

Pihak China juga memberi seorang tukang masak, pelayan, pemandu, pengawal peribadi (bodyguard) dan sebuah kereta yang dipanggil Red Flag.

Bermula dari saat itu, segala aktiviti yang rnelibatkan PKM berpusat di rumah itu. Segala mesyuarat Jawatankuasa Pusat diadakan di situ.

Segala pemilihan delegasi untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat atau persidangan-persidangan komunis antarabangsa pun bermula dari rumah itulah.

Cara mereka membuat hubungan ada tiga macam, iaitu pertama melalui pengiriman: surat secara terbuka.

Di Peking, terdapat satu alamat di mana ejen-ejen ini boleh mengirimkan suratnya. Alamat tersebut tidak diketahui oleh sesiapa kecuali orang-orang tertentu. Pengiriman tersebut cuma menggunakan nombor kod sahaja. Bila surat tersebut sampai, ia dibaca melalui kod-kodnya.

Cara kedua ialah surat rahsia yang dibawa sendiri oleh orang berkenaan atau wakil-wakilnya.

Manakala cara ketiga ialah orang itu sendiri yang datang, sama ada dari Singapura, Indonesia atau London. Mereka datang jumpa Chin Peng dan bercakap sendiri masalah mereka.

Setiap laporan yang disampaikan kepada Chin Peng itu diteliti, dan Chin Peng nanti akan mengeluarkan arahan secara kasar, tentang tindakan yang patut dibuat atau diambil oleh anak-anak buahnya di tempat masing-masing.

Pendek kata, di saat anak-anak buahnya setengah mati berjuang di hutan, Chin Peng pula hanya ‘bermain catur’ dari banglo mewahnya di China!

Selepas perjanjian damai ditandatangani, Chin Peng menetap pula di Thailand sehinggalah pada hari kematiannya.

Kesemua rahsia ini didedahkan oleh Musa Ahmad, bekas pengerusi PKM dalam buku bertajuk Baling Membuka Jalan Damai yang ditulis oleh Wahba pada tahun 1994.


0 Response to "KISAH CHIN PENG MELARIKAN DIRI KE CHINA"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel