TERPENGARUH JANJI KOSONG SYAITAN
Allah telah mengingatkan kepada manusia agar tidak terpengaruh dengan hasutan syaitan yang menjadi musuh nyata kepada manusia. Niat jahat iblis dan syaitan dijelaskan kepada manusia sebagai peringatan.
Dalam menghadapi kehidupan yang serba mewah dan canggih ini, banyak manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Mereka mengganggap kebenaran itu bagaikan ranjau-ranjau yang berduri, sebaliknya mereka merasakan bahawa kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah yang dipenuhi dengan bunga yang berwarna warni.
Syaitan yang wajib dijauhi bukan saja dalam bentuk asal kejadiannya yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera manusia. Malah, syaitan juga datang dalam bentuk manusia, yakni manusia terpengaruh dengan tipu daya menjalankan tugas syaitan.
Syaitan menyesatkan sesiapa terpedaya dengan janji-janji kosongnya. Syaitan menyusup dan menyelinap dalam semua aktiviti kehidupan manusia.
Manusia yang menjadi agen syaitan lebih berjaya menyesatkan manusia kerana mereka mempengaruhi secara terang-terang dan memperlihatkan perbuatan secara nyata. Manusia mudah terpengaruh dengan apa yang dapat dilihat dan didengar.
Perkara disuruh Allah SWT sudah tentu mendatangkan kebaikan. Sedangkan apa dilarang jika dilakukan akan mendatangkan keburukan dan jika dijauhkan akan mendatangkan kebaikan pula. Sebab itu, sikap takwa mendekatakan kepada kejayaan dan menjauhkan daripada malapetaka.
Firman Allah SWT dalam surah at-Thalaq, ayat 2 dan 3 bermaksud: "Barangsiapa bertakwa kepda Allah, nescaya Allah akan memberikannya jalan keluar (dari kesulitan) dan Dia akan memberikan pula rezeki kepadanya dari (sumber) yang tidak diduga."
Sebaliknya, mereka yang hidup tanpa takwa dan iman sentiasa keluh kesah dan tidak puas hati apa saja yang dimiliki atau dicapai. Sikap tamak dan tidak bersyukur yang menguasai diri menyebabkan tekanan perasaan dan seterusnya semakin jauh daripada kehidupan sebenar sebagai hamba Allah SWT.
Inilah warna-warna kehidupan yang membawa kepada manusia semakin jauh kepada petunjuk Allah SWT. Semakin dikejar kehidupan tanpa kekuatan takwa, maka apa yang diperoleh hanya sia-sia dan menampakkan kehidupan yang porak peranda.
Sebab itu, aspek ketakwaan mesti diutamakan dalam pembentukan jatidiri bangsa. Penjenamaan cara hidup rakyat di negara kita perlu lebih menumpukan kepada hakikat bahawa kehidupan manusia tidak dapat lari daripada ikatan atau hubungan dengan Allah SWT.
Alangkah sesatnya mereka ini, ruginya kehidupan mereka kerana telah dipengaruhi oleh musuh Allah SWT iaitu syaitan. Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati syaitan atau iblis merupakan makhluk pertama yang berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini.
Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 19 bermaksud: “Syaitan telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu orang yang rugi.”
Syaitan adalah golongan kafir daripada jin. Bapa mereka ialah iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa daripada syurga.
Manusia yang zalim iaitu yang berhati kejam, mereka tidak merasa takut kepada Allah SWT dan perbuatan mereka melanggar hukum-hukum Allah. Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuknya.
Manusia yang berhati syaitan atau saudara syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun.
Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah mendorong ke arah kederhakaan kepada Allah SWT.
Mereka yang dikuasai oleh syaitan sebenarnya kebatilan telah menguasai hati mereka dan menyangka bahawa syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.
Dalam usaha menjadikan manusia itu sebagai pengikutnya, maka sudah menjadi kebiasaan syaitan melakukaan kefasadan, memusuhi anak Adam, mendatangi anak Adam dari sebelah kanan, kiri, hadapan dan belakang mereka. Sentiasa mencari cari peluang untuk menghasut, menyesat dan menakutkan manusia.
Setiap kali berjaya mempengaruhi manusia melakukan kejahatan dan membenci kebaikan, syaitan semakin bersemangat untuk meneruskannya.
0 Response to "TERPENGARUH JANJI KOSONG SYAITAN "
Post a Comment