HUKUM UCAP MERRY CHIRSTMAS
Hukum berkaitan mengucapkan Merry Christmas kepada penganut Kristian sering menimbulkan polemik dan salahfaham baik dalam kalangan bukan Muslim, malah umat Islam sendiri.
Islam adalah agama yang membawa rahmat, keamanan dan segala kebaikan. Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada semua manusia, tanpa sebarang perbezaan.
Syeikh Al-Maraghi berkata: “Oleh sebab itu, dalam memenuhi hak setiap anggota umat atau seluruh manusia memadailah dengan pergaulan dan perkataan yang baik, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan perbuatan lain bermanfaat di dunia dan akhirat.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/174)
Definisi Merry Christmas menurut English Oxford Living Dictionaries adalah “cheerful and lively” (ceria dan meriah). Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik - myrige - iaitu “pleasing, delightful” (menyenangkan, menggembirakan).
Christmas pula bermaksud “The annual Christian festival celebrating Christ's birth, held on 25 December in the Western Church” (Festival tahunan penganut Kristian bagi menyambut kelahiran Christ, diadakan pada 25 Disember di Gereja Roman Katolik).
Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik - Crīstes yang merujuk kepada Jesus Chris dan mæsse iaitu sambutan jamuan suci (eucharist) bagi penganut Kristian khususnya gereja Roman Katolik.
Mass juga merujuk kepada upacara mingguan pada hari Ahad di gereja-gerja Katolik, begitu juga upacara pada Holy Days of Obligation. Ia berasal daripada Bahasa Latin; missa. Ia digunapakai pada penghujung liturgy apabila paderi berkata: Ite missa est ataupun boleh difahami dengan maksud “Upacara ini telah tamat. Bersurailah dalam keamanan (The Mass is ended. Go in peace).”
Oleh itu, Crīstesmæsse dapat difahami sebagai Christ's Mass iaitu sambutan kelahiran Jesus Christ, walaupun terdapat beberapa perbezaan pandangan tentang tarikh kelahiran Jesus Christ.
Sambutan ini ditonjolkan dengan menzahirkan kegembiraan dan majlis keraian bagi kelahiran Jesus bagi menggantikan tradisi Roman Saturnalia dan perayaan-perayaan pagan yang lain sebelumnya.
Sambutan ini mula berubah bentuk di England pada abad ke-19 melalui kemasukan budaya German (pokok Krismas) oleh Prince Consort dan pengaruh Charles Dickens menerusi novella beliau yang terkenal, A Christmas Carol.
Para ulama berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan tahniah bagi perayaan bukan Muslim kerana sebahagian ulama yang mengharamkannya melihat ucapan “tahniah” ini membawa konotasi mengiktiraf agama lain, dan menyebarkan syiar mereka.
Manakala, bagi ulama yang membenarkannya pula melihat ia adalah harapan bagi keselamatan dan keamanan, atau simbol hubungan sosial dengan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, tanpa berniat untuk mengiktiraf kebenaran agama lain.
Pandangan kedua-dua golongan tersebut:
Pertama: Diharamkan Mengucap Tahniah
Secara umumnya, jumhur ulama keempat-empat mazhab mengharamkan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka.
Mazhab Syafie:
Menurut Imam al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj, dihukum takzir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka, siapa yang memegang ular, sesiapa yang memasuki api, sesiapa yang berkata keada seorang kafir zimmi: “Wahai Haji", sesiapa yang mengucap tahniah kepadanya dalam satu perayaan, dan sesiapa yang menamakan penziarah kubur orang-orang soleh (atas tujuan yang syirik) sebagai " Haji ". " (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 9/244)
Hujah yang sama juga dibawakan oleh Imam al-Ramli dalam Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj, 4/255 dan al-Iqna’ fi Halli Alfazh Abi Syuja’, 2/526.
Maksud muwafaqah orang-orang kafir adalah “melakukan apa yang mereka lakukan di hari perayaan mereka, dan ini haram.” (Lihat al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 5/21).
Begitu juga penegasan Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj, 9/181; Syeikh Zakaria al-Ansari (Asna al-Mathalib, 4/162), Ibn Hajar al-Haitami (Tuhfah al-Muhtaj, 9/181) dan Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, 4/206.
Mazhab Hanafi:
Menurut Abu Hafs al-Kabir dari mazhab Hanafi, jika seorang lelaki beribadah kepada Allah 50 tahun lamanya, kemudian datangnya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan telur kepada sebahagian musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya. (Lihat Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 8/555).
Mazhab Maliki:
Ibn al-Haj al-Maliki secara ringkasnya melarang orang Islam melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan di hari perayaan mereka. (Lihat al-Madkhal, 2/46-48).
Mazhab Hanbali:
Imam al-Buhuti menjelaskan bahawa hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sewaktu perayaan mereka adalah diharamkan kerana ia merupakan satu bentuk pengagungan kepada mereka. (Lihat Kasyf al-Qina’, 3/131)
Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa tidak halal bagi umat Islam untuk menyerupai mereka (orang-orang bukan Islam) pada sesuatu pun dari perkara-perkara yang terkait secara khusus dengan perayaan mereka.
Tidak menyerupai dari sudut makanan, pakaian, mandian, menyalakan api, serta tidak pula menyerupai mereka pada perkara yang membatalkan adat dari sudut kehidupan atau ibadah, atau selainnya.
Demikian juga tidak halal melakukan perkahwinan, pemberian hadiah, dan menjual perkara-perkara yang digunakan untuk membantu hal tersebut.
Begitu juga tidak membiasakan kanak-kanak dan seumpamanya untuk bermain permainan yang terdapat di dalam perayaan tersebut, serta tidak menzahirkan perhiasan.
Secara keseluruhan, tidak boleh bagi mereka (umat Islam) untuk mengkhususkan perayaan-perayaan orang bukan Islam dengan perbuatan yang merupakan syiar agama mereka.
Bahkan hari perayaan mereka di sisi umat Islam adalah sama seperti hari-hari lain yang tidak dikhususkan oleh orang-orang Islam.
Adapun sekiranya umat Islam melakukannya kerana ditimpa satu keperluan, maka sebahagian ulama salaf dan khalaf telah memakruhkan hal tersebut.
Adapun mengkhususkannya dengan perkara yang telah disebutkan sebelum ini maka tidak ada sebarang perbezaan pandangan di sisi para ulama.
Bahkan ada sekumpulan ulama yang berpendapat kepada kekufuran mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan seperti ini. Ini kerana terdapat pada perbuatan tersebut mengagungkan syiar-syiar yang kufur.
Berkata sebahagian ulama: Sesiapa yang menyembelih nathihah (haiwan) pada hari perayaan mereka seakan-akan dia menyembelih seekor khinzir.
Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash telah berkata: Sesiapa yang mencontohi negara-negara ‘ajam dan melakukan Nairuz dan mahrajan (perayaan) mereka serta menyerupai perbuatan mereka sehinggalah dia meninggal dunia dalam keadaan tersebut, maka dia akan dibangkitkan bersama-sama mereka pada Hari Kiamat.
Amirul Mu’minin Umar bin al-Khattab, para sahabat, dan keseluruhan para pemimpin umat Islam telah mensyaratkan supaya mereka tidak menzahirkan perayaan-perayaan mereka di negara umat Islam. Bahkan merek (orang bukan Islam) hanyalah melakukannya (perayaan tersebut) di rumah-rumah mereka secara sembunyi.
Jumhur para ulama telah memakruhkan - sama ada makruh tahrim atau makruh tanzih - perbuatan memakan sembelihan orang bukan Islam untuk perayaan mereka serta korban mereka. Kerana termasuknya ia ke dalam perkara yang disembelih kerana selain Allah.
Demikian juga mereka (para ulama) melarang dari perbuatan membantu mereka (orang bukan Islam) dalam perayaan mereka seperti memberi hadiah atau berjual beli.
Kata mereka: Sesungguhnya tidak halal bagi umat Islam untuk menjual sesuatupun perkara untuk keperluan perayaan mereka kepada orang-orang Nasrani. Tidak (dijual) daging, darah, pakaian, serta tidak memberi pinjam haiwan tunggangan, dan tidak membantu sedikitpun untuk perayaan mereka. Ini kerana, yang demikian itu merupakan perbuatan mengagungkan kesyirikan mereka serta membantu kekufuran mereka.
Para pemerintah juga hendaklah melarang umat Islam dari melakukan perkara tersebut.
Kedua: Diharuskan Mengucap Tahniah
Antara mereka yang mengharuskannya ialah:
Ulama Silam
Syeikh Muhammad Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki ketika ditanya: “Sekiranya seorang Muslim pergi ke rumah zimmi pada hari perayaannya dan mengucapkan ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’. Adakah ia dikira sebagai terkeluar daripada Islam atau tidak?
Jawab beliau: “Tidak terkeluar daripada Islam seseorang Muslim yang berkata kepada seorang Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’ di mana beliau tidak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan tidak meredhai kekufuran. (Rujuk Fath al-‘Ali al-Malik fi al-Fatwa ‘ala Mazhab al-Imam Malik, 2/350)
Disebutkan oleh al-Hattab al-Rauyani bahawa Sultan al-Ulama al-Imam al-‘Izz Abd al-Salam al-Syafie telah ditanya telah hukum mengucapkan “Semoga hari sambutan ini diberkati untuk kamu.” kepada dhimmi semasa perayaan mereka.
Jawabnya: “Sekiranya Muslim tersebut mengucapkan sedemikian kepada dhimmi dengan niat mengagungkan agama mereka dan perayaan mereka, sesungguhnya dia telah terkeluar daripada Islam. Adapun sekiranya beliau tidak bermaksud sedemikian dan ucapan itu sekadar terlontar di mulutnya, beliau tidak terkeluar daripada Islam kerana ucapannya adalah tanpa niat.” (Rujuk Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil, 6/289)
Menurut Imam al-Mardawi, salah satu qaul mazhab Imam Ahmad mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka jika ada maslahah yang rajih, seperti untuk mengharapkan mereka menerima hidayah Islam.
Manakala menurut Imam Abu Daud, harus sekiranya kita ingin mengajak mereka kepada Islam (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 4/234-235).
Menurut Imam al-Bulqini, jika seseorang itu mengucapkan dengan niat mengagungkan agama mereka, maka dia telah kafir. Adapun jika sekadar menyatakan dengan lisan tanpa niat yang demikian, maka dia tidak jatuh kafir. (Rujuk Fatawa al-Bulqini, hal. 986)
Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah tiada ijmak yang jelas mengharamkan perkara ini. Syeikh al-Syarif Hatim al-Awni menyebut bahawa asas bagi keharusan berserta garis panduan ini adalah kerana:
Tidak ada dalil yang jelas secara khusus dalam al-Quran dan al-Sunnah berkenaan larangan atau keharusan mengucapkan tahniah kepada mereka.
Tidak ada diriwayatkan teks-teks secara khusus daripada salafussoleh dalam kalangan sahabat, tabi’ dan tabi’al-tabi’in juga imam-imam mazhab (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie dan Imam Ahmad) berkenaan hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sempenan perayaan mereka.
Apabila tidak ada dalil yang jelas daripada al-Quran, al-Sunnah dan salafussoleh, maka kenyataan yang menegaskan haramnya mengucapkan tahniah sebagai ijmak, masih boleh diperbahaskan akan ketepatannya.
Syeikh Muhammad Rasyid Redha menulis bahawa maslahah rakyat sesebuah negara tertakluk kepada hubungan sesama mereka.
Akhlak yang buruk jka disandarkan kepada agama merupakan sebesar-besar fitnah dan tohmahan terhadap agama. Maka hendaklah kaum Muslimin menziarahi orang Kristian sewaktu perayaan mereka dan bergaul dengan mereka dengan akhlak yang baik. (Rujuk Majallah al-Manar, 7/24)
Daripada fatwa ini kita fahami, jika beliau mengharuskan menziarahi mereka sewaktu perayaan mereka, maka sekadar mengucapkan tahniah pastinya lebih ringan hukumnya.
Syeikh Musthafa Zarqa mengharuskannya atas dasar mujamalah dan pergaulan baik sesama manusia, dan Islam tidak pernah melarang hal ini. (Rujuk Fatawa Musthafa al-Zarqa’, hal. 357)
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi pula mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim yang tidak memerangi dan memusuhi orang Islam. Menurut beliau, Nabi SAW sendiri sentiasa melazimi perbuatan baik dan akhlak mulia bersama non-Muslim, dan ini termasuk di bawah perintah ayat kelapan surah al-Mumtahanah yang bermaksud: “...hendaklah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka (non-Muslim).”
Dalam komentar beliau terhadap fatwa Ibn Taimiyyah dan Ibnul Qayyim pula, beliau menyatakan persetujuan bahawa Muslim tidak boleh sama-sama merayakan perayaan non-Muslim, tapi ini berbeza dengan sekadar mengucapkan tahniah sempena hari kegembiraan mereka.
Sesungguhnya Ibn Taimiyyah berfatwa untuk zaman beliau yang mempunyai konteks yang tersendiri. Bahkan jika beliau hidup pada zaman ini dan melihat konteks hubungan manusiawi pada zaman sekarang yang amat rapat, nescaya beliau akan mengubah fatwa beliau, atau berlembut sedikit daripada pendirian tegas beliau dalam isu ini.
Bahkan perayaan Krismas juga telah berubah menjadi satu perayaan bersifat adat. Pun begitu keharusannya adalah dengan syarat tidak ada sebarang bentuk pengagungan syiar agama lain seperti salib atau meredhainya. Ianya diucapkan semata-mata menyantuni mereka sahaja. (Lihat Fiqh Mu’asirah, 1/669-673)
Menurut Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi, harus untuk mengucapkan tahniah kepada ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) atas kegembiraan mereka dan ucapan takziah atas kedukaan mereka, bahkan disunatkan demikian itu sebagaimana dinaskan oleh para fuqaha’. Dan harus masuk ke tempat ibadat mereka atas tujuan tertentu dengan syarat tidak menyertai aktiviti keagamaan mereka.
Menurut Syeikh Abdullah bin Bayyah, adalah diharuskan untuk kita mengucapkan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka sama ada melalui lisan ataupun bertulis, selagimana tidak mengandungi syiar-syiar keagamaan mereka yang bercanggah dengan Islam seperti salib.
Ucapan tahniah sempena perayaan ini tidak menunjukkan sebarang pengakuan atau keredhaan ke atas kebenaran agama mereka, bahkan ia hanya satu bentuk mujamalah (perkataan yang baik dan penuh hormat) sesama manusia.
Hal ini lebih-lebih lagi sekiranya kita mempunyai hubungan kekerabatan, persahabatan dan kemasyarakatan dengan mereka. Namun, beliau tetap menegaskan akan keharaman orang Muslim menyambut sebarang perayaan orang bukan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian Muslim pada hari ini. (Rujuk Sina’ah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat, hal. 430-435)
Selain itu, Dr. Syarif Hatim ‘Arif al-‘Auni juga menyatakan bahawa dakwaan berlakunya ijmak atas haramnya mengucapkan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan juga merupakan satu dakwaan yang ganjil, memandangkan tiada satupun dalil khusus daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang menyatakan hal demikian. Beliau juga menyatakan bahawa ucapan tahniah yang diucapkan bukanlah ditujukan kepada ritual-ritual keagamaan dan i’tiqad orang Kristian, tapi tahniah ke atas kegembiraan sempena hari perayaan mereka.
Al-Maraghi berkata: “Allah SWT tidak melarang kamu daripada melakukan perbuatan baik kepada bukan Muslim yang tidak memerangi kamu atas dasar agama, tidak mengusir kamu dari kampung halaman dan tidak membantu orang lain untuk mengusir kamu.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 14/6969)
Menurut Imam al-Qurthubi, ayat ini menjadi dalil bahawa harus memulakan salam kepada non-Muslim kerana ia termasuk di bawah perbuatan baik, dan ini juga pandangan Imam al-Nawawi. (Lihat Tafsir al-Qurthubi, 11/103 dan Syarh Sahih Muslim, 14/145)
Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, Nabi SAW tidak berkata “berakhlaklah dengan Muslim dengan akhlak yang mulia” tapi dengan seluruh manusia. Namun beliau mensyaratkan agar ucapan tahniah itu tidak mengandungi pengakuan terhadap kebenaran agama mereka atau meredhai kekufuran mereka, dan tidak menyanggahi prinsip-prinsip Islam. (Rujuk Fiqh Mu’asirah, 3/668)
Tarjih
Selepas melihat dua pandangan dan juga situasi semasa di Malaysia, kami berpendapat ucapan Merry Christmas kepada penganut Kristian dan seumpamanya adalah diharuskan dengan syarat-syarat dan garis panduan yang khusus.
Adakah ucapan tersebut dikiranya penyerupaan (tasyabbuh) dengan mereka yang mengucapkannya sesama mereka? Kami katakan tidak, kerana ucapan tahniah dan selamat itu bukanlah suatu yang eksklusif, sebaliknya adalah suatu ucapan adat, seperti Selamat Pagi dan Selamat Menyambut Kelahiran.
Sekiranya seorang Kristian mengucapkan kepada kita Selamat Menyambut Maulidurrasul, adakah ia bermaksud, daripada semua sudut, bererti dia mengiktiraf aqidah orang Islam? Pastinya tidak.
Perlu membezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada perbezaan antara memahami istilah penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah).
Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah).
Kami melihat, perbezaan pandangan yang timbul adalah pada memahami definisi yang tepat bagi perkataan “tahniah” dan “selamat” yang menyebabkan hukumnya terbahagi kepada dua seperti di atas. Bagi menjelaskan hal ini, kita perlu melihat definisi “tahniah” dalam konteks bahasa dan pemahaman yang sebenar.
Dalam Bahasa Melayu, “tahniah” bermaksud: “ucapan yang ditujukan kepada seseorang untuk menyatakan rasa gembira kerana kejayaannya dll; ucapan selamat”. Maka, tahniah juga tidak semestinya menzahirkan rasa redha dan pengagungan kepada sesuatu hal.
Bahkan pada 22 Disember 2007, seramai 138 cendekiawan Islam telah menandatangani satu surat terbuka sempena sambutan Hari Krismas kepada pimpinan gereja sedunia termasuklah Pope Benedict XVI.
Antara mesej surat tersebut ialah mengucapkan Merry Christmas kepada masyarakat Kristian yang menyambutnya, serta menzahirkan penghargaan atas respon positif kepada pimpinan agama Kristian terhadap usaha dialog antara agama yang dimulakan oleh pimpinan kaum Muslimin. Antara ulama yang menandatangani surat terbuka ini termasuklah Syeikh ‘Ali Jum’ah, Syeikh Hamza Yusuf dan Syeikh Ikrima Sabri (Mufti al-Quds).
Keputusan Institusi Fatwa
Bagi menyokong keharusan yang kami tarjihkan, kami kemukakan di sini sebahagian pendapat Institusi Fatwa:
Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. Harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan Muslim merayakan perayaan mereka itu dengan lafaz yang tidak bertentangan dengan akidah Islamiyyah dan perbuatan ini termasuk di bawah bab Ihsan.
Dar al-Ifta’ juga menjelaskan bahawa ucapan Merry Christmas ini tidak termasuk di bawah penyerupaan dengan bukan Islam yang dilarang, kerana larangan tasyabbuh itu meliputi perbuatan dan iktiqad yang bercanggah dengan perkara-perkara thawabit (prinsip-prinsip tetap yang qath’ie) dalam Islam.
Majlis Fatwa Eropah. Mereka juga mengharuskannya sesuai dengan Fiqh al-Aqaliyyat, dan ia boleh diucapkan oleh individu Muslim atau organisasi Islam kepada saudara mereka yang bukan Islam, dan ini bertujuan memelihara masyarakat minoriti Muslim itu sendiri (Minoriti Muslim di negara bukan Muslim).
Garis Panduan Umum
Kami kemukakan di sini Garis Panduan Umum yang perlu difahami:
Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat.
Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.
Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.
Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam.
Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan selainnya.” Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38.
Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.
Dibolehkan untuk hadir ke majilis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal.
Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri. Diriwayatkan bahawa Umar RA berkata bermaksud: "Janganlah kalian menemui orang-orang musyrik di gereja-gereja (tempat ibadah) mereka pada hari raya mereka, karena kemurkaan (Allah) turun kepada mereka." (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan (9/234) dan Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (1609)
Tegahan ini menurut Ibn Muflih bersifat makruh dan bukannya haram. (Rujuk al-Adab al-Syar’iyyah, 3/432)
Kenyataan Mufti Wilayah
Setelah kami amati dan tekuni isu ini dengan berhemah, di samping membincangkan dengan pakar serta kembali kepada rujukan yang muktabar sebagaimana yang telah dilampirkan kesemuanya di atas, maka kami berpendapat hukum mengucapkan Merry Christmas, dan ucapan-ucapan lain yang bermaksud tahniah dan selamat, adalah harus dengan meraikan garis panduan yang telah kami nyatakan.
Ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007’: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”
Kami menguatkan hujah ini melalui kenyataan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fil Islam antara lain menyebut: “Jika kita hendak menyimpulkan ajaran-ajaran Islam dalam tindakannya terhadap orang-orang yang menyalahinya dalam lingkungan apa yang halal dan apa yang haram, maka memadailah kita berpegang kepada dua ayat daripada al-Quran al-Karim yang boleh dianggap sebagai prinsip yang menyeluruh, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
"Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah SWT hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Mumtahanah ayat 8-9)
Ayat yang pertama di atas tidak hanya menggalakkan seseorang berlaku adil dan saksama kepada orang-orang yang bukan Muslim, yang tidak memerangi, iaitu tidak menunjukkan permusuhan kepada kaum Muslimin dalam agamanya.
Tegasnya, mereka itu tidak menaruh niat permusuhan atau peperangan terhadap kaum Muslimin, malah ayat itu juga menggalakkan supaya berbuat baik dan memberikan layanan yang sempurna kepada mereka.
Perkataan “al-birr” iaitu “baik” merupakan kalimah yang meliputi segala pengertian dan maksud yang baik umumnya dalam sebarang maksud, dan ianya adalah suatu perkara yang melebihi “keadilan”.
Kalimah al-bir tersebut pernah digunakan oleh kaum Muslimin untuk menunjukkan kewajipan yang utama tentang hak-hak kemanusiaan ke atas diri mereka, ketika menggunakan perkataan itu untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa (birr al-walidain).
Kami menyatakan di sini bahawa ayat itu menggalakkan apa yang kami nyatakan kerana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang berlaku adil. Seseorang Mukmin itu mestilah berusaha dengan sepenuh daya upaya untuk merealisasikan apa yang disukai oleh Allah SWT, dengan tidak sama sekali menafikan atau menolak pengertian “menggalakkan dan menuntut” yang terdapat di dalam ayat ini, kerana ianya berbunyi dengan ungkapan “Allah SWT tidak melarang kamu…” Ini kerana ungkapan seumpama ini adalah untuk menolak apa yang terlekat di dalam pemikiran Muslim, yang mana masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.
Sesiapa sahaja yang memusuhi ajaran Islam tidak berhak baginya mendapat kebaikan, keadilan dan pergaulan yang baik.
Lantaran itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia tidak melarang orang Islam untuk melakukan sedemikian, meskipun orang-orang itu menyalahi agama mereka, bahkan sekalipun mereka memeranginya dan bermusuhan terhadapnya.”
Sudah sampai masanya bagi para ulama’ menginterpretasikan apa yang didapati daripada teks-teks klasik ulama’ silam supaya meraikan kerangka cabaran masa kini tanpa meninggalkan batasan syarak.
Tidak cukup hanya sekadar menukilkan apa yang dicatatkan pada lembaran kertas daripada kitab-kitab silam (fiqh al-awraq), bahkan para ulama perlu turun ke lapangan bagi memahami kitab al-waqi’ ('membaca' realiti semasa).
Kemampuan untuk berinteraksi dengan teks-teks klasik inilah yang akan membawa umat Islam ke satu paradigma yang jauh ke hadapan dan lebih berpijak kepada realiti sebenar pada zaman sekarang serta tidak ketinggalan dalam arus perdana.
Dengan itu, akan terzahirlah Islam sebagai agama yang bersifat rahmatan li al-‘alamin (memberi rahmat ke seluruh alam jagat).
Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita sentiasa berada di landasan yang sebenarnya mengikut neraca syariah.
0 Response to "HUKUM UCAP MERRY CHIRSTMAS"
Post a Comment